KHARTOUM – Lebih 10 juta rakyat Sudan atau bersamaan 20 peratus penduduk, diusir dari rumah mereka sejak sejak perang di negara itu tercetus pada April 2023, lapor laman berita The New Arab kelmarin.
Angka itu didedahkan oleh Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) ketika krisis kehilangan tempat tinggal terbesar di dunia, di negara berkenaan bertambah buruk.
Peperangan itu menyebabkan separuh penduduk Sudan iaitu kira-kira 50 juta orang menghadapi krisis kelaparan dan memerlukan bantuan kemanusiaan. Ia merupakan yang paling banyak berbanding mana-mana negara.
“Lebih 2.2 juta orang melarikan diri ke negara lain sejak perang bermula, namun hampir 7.8 juta penduduk mencari perlindungan di dalam negara,” kata IOM dalam laporan yang didedahkan setiap dua bulan.
Seramai 2.8 juta orang lagi sudah sedia kehilangan tempat tinggal akibat konflik sebelumnya di negara itu.
Pertempuran antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang tercetus di ibu negara itu, Khartoum pada tahun lepas, merebak dengan cepat merentasi wilayah Darfur ke barat.
Pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kelaparan telah menggantikan keganasan sebagai pendorong terbesar penghijrahan dari Darfur.
“Semua pelarian yang saya temui memberitahu sebab mereka melarikan diri dari Sudan adalah kelaparan,” kata Pengarah Peringkat Negara Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr. Shible Sahbani. – AGENSI