SELEPAS selesai memberi keterangan minggu lalu, suami kepada penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL), Tiko Aryawardhana dipanggil semula ke Balai Polis Jakarta Selatan bagi memberi kenyataan susulan dakwaan penyelewengan wang syarikat usahasama dengan bekas isterinya.
Semalam Ketua Reserse Kriminal (Kasat Reskrim) Polis Metro Jakarta Selatan, AKBP Bintoro mengatakan pihaknya sudah melaksanakan pemeriksaan lanjutan terhadap lelaki terbabit.
Ketika ditemui media, Tiko pula meminta pengertian ramai bahawa isu berkenaan tidak membabitkan BCL.
“Alhamdulillah sudah selesai beri keterangan. Saya ingin ingatkan ini masalah dengan bekas isteri saya. Tiada kaitan dengan BCL,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili Tiko iaitu Irfan Aghasar memaklumkan anak guamnya memberi kerjasama baik dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan berlangsung.
“Sekitar 40 hingga 50 soalan dan semuanya berkaitan dengan aliran dana syarikat.
“Kami harap keterangan ini menjadi bukti yang baru untuk membantah semua tuduhan dibuat,” jelasnya.
Terdahulu, Tiko sebelum ini didakwa menggelapkan wang syarikat berjumlah RM1.7 juta yang dilakukan antara tahun 2015 hingga 2021.
Tiko dan bekas isterinya, Arina Winarto bercerai pada 28 Oktober 2021 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga dan memiliki tiga cahaya mata.