fbpx

Tiada dokumen buktikan Guan Eng batal pengecualian cukai – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin dan Guan Eng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tiada dokumen yang membuktikan Lim Guan Eng membatalkan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan ketika beliau memegang jawatan Menteri Kewangan sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Seksyen Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan, Hazlan Abdul Aziz berkata, beliau tidak menemukan sebarang surat yang menyatakan kementerian itu tidak mengiktiraf pengecualian cukai yang diberikan kepada organisasi berkenaan di antara 2018 dan 2020.

Beliau menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada kes saman yang dikemukakan oleh Guan Eng terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai ke atas organisasi berkenaan.

Menjawab soalan peguam Chetan Jethwani mewakili Muhyiddin, saksi itu berkata, Menteri Kewangan kemudian bersetuju mengecualikan cukai taksiran tambahan berjumlah RM426.39 juta yang dikenakan ke atas 27 anak syarikat yayasan itu.

Terdahulu, peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Guan Eng merujuk Hazlan surat rayuan daripada yayasan kebajikan berkenaan yang dihantar kepada Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri.

Surat bertarikh 5 Februari 2021 itu menyatakan 27 syarikat korport yang bernaung di bawah yayasan kebajikan tersebut diberi pengecualian cukai di antara April 2016 dan Mac 2018.

Menurut surat itu lagi, LHDN kemudian membuat keputusan tidak mengiktiraf surat-surat kelulusan Kementerian Kewangan dalam tempoh itu walhal cukai kredit telah digunakan oleh syarikat-syarikat tersebut pada tahun-tahun sebelumnya.

“Cukai tambahan yang dikenakan selepas kementerian menarik balik pengiktirafan surat-surat berkenaan menyebabkan yayasan terpaksa menanggung liabiliti cukai tambahan sebanyak RM426.39,” ujar surat itu sewaktu memohon rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai tambahan tersebut.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac 2023, Guan Eng berkata, Muhyiddin ditahan SPRM pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.

Katanya, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama diikuti pada 11 dan 12 Mac 2023 di dalam Facebook miliknya dan kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain kemudian menetapkan 12 September ini bagi penghujahan lisan kedua-dua pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI