fbpx

Skuad ‘underdog’ Perak cipta kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
skuad Perak pada penampilan sulung dalam Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan yang berlangsung dari 16 hingga 20 Julai 2024 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. - Foto MUHD HAZIQ (MHC)

KUALA LUMPUR – Skuad hoki 5 sebelah (5s) Perak mencipta sensasi pada penampilan sulung mereka di Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan dengan mencatat empat kemenangan berturut-turut termasuk menundukkan juara bertahan Pahang dengan keputusan 5-0, hari ini.

Skuad yang dibentuk hanya beberapa hari sebelum kejohanan bermula, hadir sebagai pasukan ‘underdog’ namun berjaya mengungguli Kumpulan A selepas kemenangan besar ke atas Pahang pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Mereka turut mencatat kemenangan 7-2 ke atas Sarawak dan kemenangan tipis 7-6 ke atas Pulau Pinang sekali gus membuka peluang cerah untuk mara ke pusingan suku akhir selepas hanya berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan sahaja lagi.

Jurulatih skuad Perak, Muhammad Husaini Husin ketika ditemui Kosmo! menyatakan bahawa dia sama sekali tidak menduga prestasi cemerlang yang dipamerkan anak buahnya dalam kejohanan kebangsaan edisi ketiga itu.

“Saya hanya dapat mengumpulkan para pemain hanya beberapa hari sebelum kejohanan dan kami berlatih dalam keadaan serba kekurangan kerana di Perak kami tiada fasiliti untuk hoki 5 sebelah.

“Saya bergantung sepenuhnya kepada beberapa pemain yang pernah beraksi bersama skuad negara seperti Meor Azwan, Izzat Hakimi dan penjaga gol, Adrian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui rata-rata pemainnya tidak memiliki pengalaman bermain dalam kejohanan hoki 5 sebelah dan mereka hanya mengkaji corak permainan pasukan lawan semasa perlawanan berlangsung.

Difahamkan, pengalaman para pemain yang pernah mewakili Malaysia dalam skuad hoki padang dan kejohanan dalam dewan menjadi bekalan untuk mereka pantas menyesuaikan diri dengan kejohanan tersebut.

“Saya sebenarnya tidak meletakkan sasaran besar, tetapi memandangkan mereka bermain baik saya berharap skuad dapat mengekalkan rentak permainan dan terus buru kemenangan,” tambah jurulatih itu.

Seterusnya, skuad kendaliannya akan meneruskan saingan akhir peringkat kumpulan A menentang Perlis pada pagi Khamis sebelum mara ke pusingan seterusnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI