KABUL – Angka kematian akibat hujan lebat di timur Afghanistan meningkat kepada 47 orang semalam, manakala mangsa-mangsa menceritakan bagaimana ribut merobohkan seluruh rumah dan menimbus keluarga hidup-hidup.
Kira-kira 350 orang cedera dan 400 rumah musnah ketika hujan dan hujan batu melanda timur Nangarhar pada petang kelmarin, demikian menurut pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah.
Charbagh Safa, sebuah perkampungan di luar ibu kota wilayah Jalalabad, musnah menjelang subuh semalam.
Menurut seorang penduduk, Sajidullah, rumahnya dipenuhi dengan saudara-mara yang datang untuk bertemu anak saudaranya yang baru dilahirkan apabila banjir meruntuhkan kediaman itu.
Ia meragut nyawa saudara lelakinya yang baru bergelar bapa itu bersama 10 yang lain.
Pihak berkuasa Taliban berkata, ia mempengerusikan mesyuarat tergempar untuk mengumpulkan agensi bantuan tempatan dan asing bagi memberikan bantuan yang diperlukan. – AFP