fbpx

Perundangan baharu bakal diperkenal, kawal selia Badan Berkanun Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Satu perundangan baharu akan diperkenalkan bertujuan mengawal selia Badan Berkanun Persekutuan (BBP) serta syarikat bawahnya bagi memperkukuh tatakelola badan berkanun berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri berkata, langkah itu merupakan antara beberapa dasar dan inisiatif melibatkan pengukuhan tatakelola dan reformasi perundangan yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) baru-baru ini.

Kata kenyataan itu, pengukuhan tatakelola BBP secara perundangan akan memberi penekanan antaranya mengenai aspek pinjaman, pelaburan serta penubuhan anak-anak syarikat.

“Selain itu, Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola BBP telah dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri pada 30 April bagi menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998.

“Garis panduan ini antara lain memperkukuh proses pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah BBP, memperkasa peranan Audit Dalam, memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dan mewujudkan Sistem Badan Berkanun (SBSys) sebagai mekanisme pengawalseliaan BBP,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 berhubung Tatakelola Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan Kerajaan (CLBG) yang dikeluarkan pada 20 Mei juga bertujuan memberi panduan kepada Kementerian Pengawal dalam pelaksanaan peraturan dan prosedur berkaitan dengan pengurusan dan tatakelola SBK dan CLBG.

“Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam urusan kerajaan diperkenalkan mulai 21 Mei bagi memastikan surat sokongan tidak disalah guna bagi tujuan kepentingan peribadi

“Garis panduan ini adalah sebagai peringatan berhubung subseksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berhubung larangan penggunaan jawatan atau kedudukan untuk apa-apa suapan, sama ada kepentingan peribadinya, saudara atau sekutunya,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, satu pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi pelaksanaan syor-syor Jawatankuasa Kajian Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan Dan Mengenal Pasti Cadangan Langkah Pencegahan.

Katanya, ia berhubung aspek penambahbaikan perundangan, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan infrastruktur untuk diteliti oleh entiti kawal selia masing-masing serta dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan di bawah bidang kuasa masing- masing.

“Ia turut melibatkan Penggubalan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat bagi memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

“Langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkat melalui penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI