KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pemenang cabutan bertuah Kempen Hartanah UDA Ria 2023, kelmarin yang melibatkan nilai keseluruhan RM200,000.
Dua pemenang bertuah membawa pulang hadiah utama iaitu Perodua Ativa setiap seorang, manakala empat pemenang menerima pakej percutian ke Dubai, Pulau Nami, Pulau Bali dan Pulau Semporna.
Selain itu, lima lagi pemenang mendapat pakej penginapan di rangkaian AnCasa Hotels & Resorts. UDA turut memberikan kad minyak Petronas RM100 kepada 50 pemenang dan kad Touch n Go RM50 kepada 50 lagi pemenang.
Cabutan dilaksanakan oleh barisan pengurusan UDA secara fizikal Ibu Pejabat UDA di Blok Menara Kompleks Pertama dan peserta yang terdiri daripada pembeli hartanah UDA hadir secara virtual menerusi platform dalam talian.
Sesi tersebut turut dipancarkan secara live streaming di Facebook rasmi UDA Property.
Seramai 455 pembeli hartanah UDA yang layak telah menyertai cabutan bertuah sempena Kempen Hartanah UDA Ria 2023 yang berlangsung dari 7 Julai 2023 hingga 6 Julai 2024.
Kebanyakan pembeli adalah dari Lembah Klang (36 peratus) dan Wilayah Selatan (35 peratus), manakala 27 peratus dari Wilayah Utara dan baki dua peratus dari Wilayah Timur.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, Kempen Hartanah UDA Ria 2023 yang berlangsung selama setahun telah berjaya mencatat jualan keseluruhan produk hartanah UDA berjumlah RM276 juta.
Jelasnya, rumah bertanah dan bertingkat menjadi pilihan utama pembeli sepanjang kempen berkenaan, seperti Amaanee Residences di Wilayah Utara dan Pisonia Ville (Pac 3) di Wilayah Selatan.
Manakala projek Residensi Dedaun yang terletak di kawasan pembangunan mampan, iaitu Bandar Tun Hussein Onn, Cheras menjadi tumpuan bagi pembeli di sekitar Lembah Klang.
“Karnival UDA yang menjadi acara tahunan akan memuatkan Kempen Hartanah UDA Ria oleh UDA Property, sebagai usaha UDA mendekati masyarakat serta komuniti terutamanya di wilayah pembangunan dan perniagaan UDA.
“Kempen Hartanah dalam Karnival UDA 2024 bakal berlangsung selama lima bulan bagi memuatkan pelbagai progam serta aktiviti seperti nasihat kewangan, pakej pembiayaan daripada rakan kongsi UDA seperti bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain.
“Dengan adanya pelbagai aktiviti tersebut, kami berharap sasaran jualan RM700 juta bagi tahun 2024 dapat dicapai,” katanya.
Penyerahan hadiah kepada semua pemenang cabutan bertuah Kempen Hartanah UDA Ria 2023 akan dibuat di Karnival UDA 2024 @ Penang di Tapak Parkir Gravitas, Jalan Baru Prai pada 26 hingga 28 Julai ini.
Selepas Pulau Pinang, Karnival UDA 2024 bakal diadakan di tiga lagi lokasi iaitu Bandar Tun Hussein Onn, Cheras (27 hingga 29 September); Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, (11 hingga 13 Oktober); dan Tapak Projek Neu Pendington, Kuching (25 hingga 27 Oktober).