KEPENTINGAN pasukan sentiasa menjadi keutamaan buat bekas pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon yang meninggalkan ‘wasiat’ untuk diteruskan oleh pemangku jurulatih, Pau Marti Vicente.
Walaupun keputusannya dibuat secara mengejut, namun Pan-gon tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya sudah membina asas cukup jelas untuk mengelak peletakan jawatannya memberi kesan negatif kepada pasukan.
“Kekuatan saya adalah mewujudkan sistem dan saya minta sokonglah kakitangan saya yang lain. Sistem yang sudah ada tidak menghadirkan rasa gentar walaupun ada seseorang yang melangkah keluar dan semua itu ada dalam pasukan Malaysia.
“Kita ada kepakaran, komitmen penuh, kesetiaan dan pengetahuan. Semua itu adalah kunci utama yang ‘bekerja’ untuk saya dan saya yakin Malaysia tidak akan tergugat.
“Tidak perlu risau kerana kamu perlu berbangga dan percaya pada diri sendiri. Semua pihak perlu terus memberikan sokongan kerana bola sepak Malaysia memiliki potensi,” katanya.
Semalam, jurulatih dari Korea Selatan itu menamatkan masa depannya di Malaysia apabila membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta merta kerana komitmen peribadi.
Pan-gon menyifatkan tempoh dua setengah tahun berkhidmat di Malaysia sejak Februari 2022 sebagai satu perjalanan yang indah dan luar biasa dalam hidupnya terutama apabila berjaya membawa Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun.
Rentetan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kesemua pembantu Pan-gon masih lagi kekal dan Pau Marti dinaikkan pangkat menjadi pemangku ketua jurulatih sehingga 2025.
Pan-gon menjelaskan ketika ini Harimau Malaya perlu keluar daripada bayangannya dan menaruh keyakinan terhadap Pau Marti untuk meneruskan segala perancangan selepas ini.
“Pau Marti seorang yang ada kepakaran dan kena guna pengetahuannya untuk pasukan kebangsaan. Dia berhak untuk berada sini sebagai jurulatih dan jika sokongan diterimanya agak baik, dia akan bawa pasukan ke arah lebih baik.
“Malaysia ada potensi dan bagi saya kita kena positif. Peningkatan ranking menunjukkan yang Malaysia sebenarnya mempunyai potensi,” katanya.