WASHINGTON – Pihak berkuasa negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) cuba merungkai misteri bangkai sebuah pesawat ringan yang ditemui di tepi sebatang jalan di daerah Bay, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Jabatan Polis Springfield dalam kenyataan di media sosial berkata, bahagian kokpit, ‘hidung’ dan kipas yang ditemukan itu ditinggalkan di tepi Jalan Transmitter.
Pesawat itu mempunyai tulisan ZooWorld, Panama City Beach, termasuk logo zirafah di tempat duduknya.
Bagaimanapun, pihak zoo berkenaan menyatakan bahawa pesawat tersebut tidak lagi dijadikan pameran kira-kira seminggu lalu.
“Ia pernah menjadi sebahagian daripada pameran, tetapi telah dialih keluar,” kata Penolong Pengarah ZooWorld, Jadena Terrell kepada WJHG-TV.
Polis berkata, mereka dimaklumkan bahawa pemilik pesawat itu mahu membawanya ke tempat pelupusan sampah.
“Terdapat beberapa jenis bahan di dalam pesawat itu yang menyebabkan ia bercahaya pada waktu malam, menjadikan pihak pelupusan barangan terpakai tidak dapat mengambilnya.
“Mungkin sebab itu, mereka hanya membuang sebahagian daripadanya, dan meninggalkan sebahagian lagi,” kata Penolong Ketua Polis Springfield, Russell Voyles. – AGENSI