BANGKOK – Polis Thailand menyiasat kematian enam warga asing selepas mayat mereka ditemui di dalam bilik sebuah hotel mewah di Bangkok semalam, dengan pihak berkuasa mengesyaki bahawa mereka diracun, lapor saluran berita CNA.
Polis juga sedang mencari individu ketujuh yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Kesemua enam mangsa yang berketurunan Vietnam, dengan dua daripadanya membawa pasport Amerika Syarikat, mendaftar masuk ke hotel Grand Hyatt Erawan di Bangkok pada dua waktu berasingan, kata pegawai polis, Thiti Saengsawang.
Tambahnya, keenam-enam mereka tiba pada hari Sabtu dan Ahad.
Ujar Thiti, kumpulan tersebut iaitu tiga lelaki dan tiga wanita, mendaftar masuk ke bilik berbeza.
Namun katanya, mayat mereka ditemui di dalam satu bilik, namun tidak menunjukkan sebarang tanda pergelutan.
“Ini bukan kes mencederakan diri sendiri, tetapi seseorang telah menyebabkan kematian mereka.
“Kami sedang mengesan setiap jejak sejak mereka turun dari pesawat,” kata Thiti.
Jelasnya lagi, pemeriksaan awal mendapati tiada bukti kecederaan berkaitan pergaduhan atau kecurian, namun polis percaya mangsa-mangsa termakan bahan toksik.
Pegawai-pegawai polis menemui mayat keenam-enam mangsa selepas menerima panggilan daripada kakitangan hotel pada kira-kira pukul 5.30 petang (waktu tempatan), yang melaporkan terdapat kematian.
Seorang jurucakap polis berkata, ‘bahan mencurigakan’ ditemui di bahagian bawah gelas minuman di dalam bilik hotel. – AGENSI