fbpx

Isu gaji KL City mampu diselesaikan – Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHALID

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad merasakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lebih daripada mampu untuk memainkan peranan lebih besar bagi membantu Kuala Lumpur City FC (KL City) yang kini dihimpit isu tunggakan gaji.

Dengan pendapatan tinggi diraih DBKL yang mencecah RM2.38 bilion, Khalid merasakan peruntukan 0.5 peratus daripada jumlah itu sudah memadai buat The City Boys untuk mengatasi segala permasalahan.

“Pendapatan DBKL pada 2024 adalah berjumlah RM2.38 bilion berdasarkan bajet dikemukakan menerusi pendapatan yang diperolehi daripada warga Kuala Lumpur termasuklah projek yang dijalankan di sini. Kita bukan minta banyak pun, kalau hanya 0.5 peratus diketepikan untuk KL City FC, maka ia bersamaan dengan RM11.9 juta.

“Apa salahnya jumlah itu diberikan untuk mengadakan satu pasukan bola sepak yang profesional dan cemerlang di Kuala Lumpur. Kita lihat RM650 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan kalau 0.5 peratus daripada jumlah itu, kita akan dapat RM3.25 juta dan secara keseluruhannya, kita dapat lebih RM15 juta tetapi setakat ini, kita belum dapat apa-apa selain RM3 juta untuk bayar tunggakan tahun lalu.

“Dengan jumlah lebih RM15 juta itu, kita boleh tampung semua perbelanjaan dan pembayaran gaji kita, jadi kita tidak akan ada masalah mengenai isu gaji tertunggak dan sebagainya,” kata Khalid pada sidang media hari ini.

Rentetan itu, Khalid berharap perkara ini dapat dipandang lebih serius oleh DBKL dan pemberian dana membolehkan KL City tampil lebih baik.

“0.5 peratus pun sudah cukup bagi kita jadi inilah yang kita harap ada satu perubahan daripada segi kaedah di mana kita tak perlu pergi merayu untuk minta duit. Biar ada satu sistem di mana kita tahu mengikut jumlah pendapatan DBKL itu sendiri.

“Tiada pasukan lain di Kuala Lumpur, jadi tiada sebab mengapa DBKL memandang sepi KLFA dan KL City FC. Sebaliknya mereka harus berbangga bersama untuk membangunkan industri bola sepak di Kuala Lumpur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI