PETALING JAYA – Bagi merealisasikan impian untuk bergelar seorang ibu, penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan tidak menolak melakukan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) demi memiliki zuriat.
Elizabeth atau nama lengkapnya Elizabeth Tan Su Mei, 30, berkata, perkara tersebut turut dipersetujui suaminya, Siew Jim namun dalam masa sama tetap berusaha secara semula jadi.
“Saya dan suami ada terfikir untuk melakukan IVF, tetapi kami ingin melakukannya secara semula jadi berdasarkan rawatan dan nasihat pada masa ini.
“Mungkin kami akan memberi masa sekitar setahun kerana pada Februari lalu saya keguguran.
“Setidak-tidaknya saya tahu yang saya mampu hamil, jadi kami pilih melalui cara biasa ini dahulu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun lagu Semua Sudah itu, dia juga kini sedang menjalani proses rawatan dan pengambilan ubat untuk kestabilan hormon.
“Saya fikir untuk mendapatkan anak itu mudah, tetapi ternyata sukar untuk saya. Sewaktu mengalami keguguran pada Februari lalu, usia kandungan masih baru iaitu sekitar tujuh minggu.
“Beberapa bulan selepas itu, mengalami gangguan hormon dan perlu mengambil ubat serta rawatan bagi membantu untuk hamil lagi.
“Saya juga selalu melakukan senaman kardio setiap minggu agar badan lebih sihat dan juga mengamalkan pemakanan sihat,” katanya lagi.
Pada masa sama pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu juga mengharapkan agar dia memperoleh anak kembar sepasang lelaki dan perempuan.
“Kalau boleh saya berharap agar dapat anak kembar sepasang. Tentu seronok, tetapi keluarga belah saya dan dia tidak mempunyai sejarah kelahiran kembar.
“Andai kata tidak dapat anak kembar, saya kalau boleh anak sulung saya nanti perempuan,” jelasnya.
Pada April lalu, hasrat Lizzy untuk menimang cahaya mata pertama masih belum kesampaian apabila mengalami keguguran sekitar Februari.
Sekadar info, Lizzy mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim pada 21 Mac 2021. – KOSMO! ONLINE