fbpx

E-Invois tak jejas jualan kenderaan – MAA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SHAMSUL (enam dari kiri) bergambar bersama rakan kongsi industri pada sidang akhbar Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan e-Invois bermula Ogos ini dilihat tidak memberi kesan besar terhadap jualan kenderaan, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presiden MAA, Mohd. Shamsul Mohd. Zain berkata, pihaknya percaya bahawa pengedar kenderaan dan pihak bank akan menawarkan pakej lebih baik untuk mengimbangi tawaran tanpa pinjaman penuh, sambil melihat pelaksa­naan e-Invois dapat meningkatkan ketelusan dan kecekapan.

“Sebenarnya, tiada isu dengan pinjaman penuh dan bayaran pendahuluan sebab ia adalah peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara.

“Pada asasnya, kita tidak melihat impak besar kepada jualan kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan semalam.

KOSMO! sebelum ini melaporkan pelaksanaan e-Invois bakal menghapuskan ‘amalan salah’ pinjaman kenderaan 100 peratus, dan dilihat dikhuatiri menjejaskan jualan kenderaan terutamanya dalam segmen mampu milik.

Pada masa sama, MAA optimis akan prospek jualan kenderaan di Malaysia dalam tempoh masa terdekat dengan menyemak naik unjuran Volum Ke­seluruhan Industri (TIV) kepada 765,000 unit untuk tahun ini, berbanding jangkaan sebanyak 740,000 unit yang dibuat pada Januari lalu.

Angka baharu itu bagaimanapun masih 4.3 peratus lebih rendah berbanding rekod TIV yang dicatatkan tahun lepas, iaitu sebanyak 799,731 unit, meskipun untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, TIV direkodkan 6.6 peratus ­le­bih tinggi kepada 390,296 unit, berbanding tempoh sama tahun 2023.

Menurut Mohd. Shamsul, antara faktor yang menyokong jangkaan TIV lebih tinggi ialah ekonomi domestik yang berdaya tahan, ketika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang sihat seba­nyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024.

“Selain itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga kekal stabil pada tiga peratus sejak Mei 2023, sekali gus menyediakan persekitaran ekonomi yang menggalakkan.

“Terdapat tempahan tertunggak yang sihat terutamanya untuk pasaran kenderaan penum­pang segmen A, menunjukkan permintaan kuat yang akan terus mendorong jualan dalam segmen ini,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI