fbpx

Dewan Rakyat: 38 peratus miskin tegar berada di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bilangan isi rumah di bawah miskin tegar di Sabah meliputi 38 peratus atau 6,937 daripada jumlah keseluruhan 18,445 isi rumah di Malaysia.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebanyak tujuh daripada 10 daerah termiskin di seluruh negara juga direkodkan di Sabah.

Menurut beliau, pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan di Sabah juga lebih tinggi iaitu RM1,218 sebulan berbanding kadar nasional sebanyak RM1,198.

Justeru, katanya, risiko isi rumah di Sabah untuk berada dalam kategori miskin tegar adalah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Berdasarkan senarai insiden kemiskinan tegar mengikut daerah termiskin di Sabah, paling tinggi di Tongod 5.9 peratus. Kalau kita bandingkan di peringkat nasional hanya 0.2 peratus.

“Beluran (lima peratus), Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (empat peratus), Tuaran (2.6 peratus), Ranau (2.4 peratus) dan Lahad Datu (2.4 peratus),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berhubung langkah-langkah kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah.

Rafizi menjelaskan, bagi menoktahkan kemiskinan di Sabah memerlukan infrastruktur pembasmian di peringkat nasional dan program khusus di setiap daerah.

Katanya, peruntukan RM468.7 juta bagi 2024 telah pun diwujudkan bagi projek-projek infrastruktur sebagai usaha mengurangkan jurang kemiskinan di lapan daerah terlibat.

Tambah beliau, Sabah juga negeri penerima tertinggi peruntukan projek kecil di bawah RM200,000 di bawah Inisiatif Kemudahan Rakyat yang dikendalikan Kementerian Ekonomi.

Terdahulu, Bung Moktar menegaskan, beliau bersedia membawa Menteri Ekonomi menjelajah ke kawasan miskin tegar di Sabah yang masih tiada jalan raya, bekalan elektrik dan air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI