HULU SELANGOR – Masalah ketika pengecaman mayat menyebabkan waris kepada Nur Farah Kartini Abdullah, 25, perlu diambil sampel ujian DNA (asid deoksiribonukleik) bagi menuntut mayat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya perlu mengambil sampel ibu atau adik beradik kepada bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) memandangkan terdapat masalah dari sudut visual.
“Ada masalah pengecaman daripada visual, jadi kita membuat melalui proses forensik dengan mengambil DNA ibu dan adik beradiknya sebelum mayat diserahkan kepada waris.
“Hasil bedah siasat masih pending laboratory (menunggu laporan lengkap makmal) jadi ia bergantung kepada Jabatan Kimia, mungkin dua atau tiga hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan punca kematian Nur Farah Kartini masih belum dapat disahkan disebabkan keadaan mayat wanita tersebut yang reput di bahagian dada dan muka.
Pihak Pakar Patalogi Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal ke atas beberapa sampel biologi yang diambil pada.
Mengulas mengenai kes pembunuhan itu, Hussein berkata pihaknya merakam percakapan seramai 26 saksi bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Kata Hussein, kesemua individu itu terdiri daripada ahli keluarga, kenalan, anggota polis dipercayai rakan suspek dan saksi awam.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai, ditemui dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
11 Julai lalu, mangsa berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan hilang susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas dikatakan menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim pada sehari sebelum.- KOSMO! ONLINE.