fbpx

AIROD, BAR Aviation kerjasama selenggara pesawat L100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – AIROD Sdn. Bhd. mengumumkan kerjasama bersama BAR Aviation bagi melaksanakan proses menyelenggara pesawat jenis L100 di Uganda, melibatkan nilai projek sebanyak AS$1.5 juta (RM7 juta).

Menurut kenyataan dikeluarkan AIROD, jalinan kerjasama itu mempamerkan usaha perkongsian antara kedua-dua syarikat bertujuan meningkatkan operasi pesawat L100 di rantau Afrika Timur.

Katanya, AIROD yang merupakan sebuah syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) ditugaskan membawa kepakaran ke sana, yang disertai seramai 11 pekerja profesional.

“Pasukan Perkhidmatan Global (GLS) kami menyasarkan untuk menetapkan piawaian baharu dalam perkhidmatan penyelenggaraan penerbangan. 

“Pasukan juga bersemangat dalam kerjasama ini dan menekankan kepentingan strategik untuk menggabungkan kepakaran serta sumber bagi memastikan kerjasama itu berjaya,” katanya hari ini.

GLS ialah unit khusus dalam AIROD yang menyediakan perkhidmatan lapangan untuk pesawat Hercules C-130/L100 di seluruh dunia. 

Kepakaran mereka termasuk pesawat perkhidmatan lapangan dan pengubahsuaian, selain sistem pengendalian untuk menunjukkan peralatan, menganalisis kerosakan dan menawarkan perundingan teknikal. 

Sehingga kini, pasukan GLS telah menyediakan perkhidmatan di beberapa negara termasuk Indonesia, Filipina, Bangladesh, Sri Lanka, Emiriah Arab Bersatu, Yaman, Jordan, Tunisia, Mali, Botswana, Ecuador, Afghanistan dan Malaysia. 

Mengulas lanjut, kata kenyataan itu, perkongsian itu turut melibatkan komitmen bersama antara AIROD dan BAR Aviation bagi mencapai kecemerlangan dan inovasi dalam bidang penerbangan.

“Ia bagi memastikan pesawat L100 Bar Aviation berada dalam keadaan optimum dan bersedia untuk pembesaran operasi pada masa depan.

“Kerjasama itu bukan sahaja menyerlahkan kepentingan jalinan antarabangsa, tetapi turut menandakan visi bersama untuk memupuk pertumbuhan dalam sektor aeroangkasa di benua Afrika dan dunia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI