fbpx

Trump pilih Senator Ohio calon Naib Presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trump (kiri) dan Vance (kanan) menghadiri hari pertama Konvensyen Kebangsaan Republikan di Milwaukee, Wisconsin kelmarin. – AFP

WASHINGTON – Donald Trump menamakan Senator Ohio, JD Vance sebagai calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengukuhkan kedudukan Vance selepas beliau bertahun-tahun mengkritik bekas presiden berkenaan.

Saluran berita CNN melaporkan, pemilihan itu dibuat pada hari pertama Konvensyen Kebangsaan Republikan dan hanya dua hari selepas Trump terselamat daripada cubaan membunuhnya di Butler, Pennsylvania.

“Selepas  berfikir panjang dan mempertimbangkan bakat luar biasa ramai orang lain, saya memutuskan bahawa calon yang paling sesuai untuk menyandang jawatan Naib Presiden AS  ialah Senator JD Vance dari negeri  Ohio,” kata Trump di platform  Truth Social.

Menurut sumber,  Trump menelefon Vance kelmarin untuk secara rasmi menawarkan jawatan  tersebut kepadanya, 20 minit sebelum beliau membuat pengumuman mengenainya di Truth Social.

Kedua-dua mereka dilaporkan bertemu di kelab Mar-a-Lago  pada Sabtu lalu sebelum Trump ditembak.

Vance dikatakan boleh menarik sokongan daripada pengundi kelas pekerja yang dilihat penting untuk memenangi negeri-negeri yang menjadi medan pertempuran utama pada pilihan raya November ini.

Tambah sumber  sama, isteri Vance, Usha Chilukuri yang merupakan anak kepada pasangan pendatang India, dilihat boleh menarik minat pengundi minoriti.

Vance yang merupakan seorang pelabur  dan pengarang memoir terlaris berjudul Hillbilly Elegy, dipilih ke Dewan Senat pada 2022 selepas menerima galakan daripada Trump dalam pemilihan utama Parti Republikan.

Ia berbeza berbanding situasi enam tahun sebelumnya, di mana Vance menjadi suara utama dalam pergerakan Never Trump semasa pilihan raya 2016. Beliau  turut dikenali kerana lantang menentang bekas presiden itu secara terbuka. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI