HULU SELANGOR – Penduduk Kampung Sri Kledang di sini gempar dengan penemuan mayat bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah di ladang kelapa sawit berhampiran penempatan mereka.
Rata-rata mereka yang sering menggunakan laluan di sekitar ladang itu langsung tidak menyangka mangsa yang berusia 25 tahun itu cuba ‘dilupuskan’ di kawasan ladang yang telah wujud lebih 20 tahun.
Jarak lokasi ladang ke Kampung Sri Kledang adalah empat kilometer (km).
Seorang penduduk, Shaharuddin Ali, 52, berkata, sepanjang melalui lokasi tersebut sejak dua hari lalu tiada bau mayat dihidu olehnya.
“Hari-hari lalu kawasan ini memang tiada apa yang mencurigakan termasuk bau mayat sehinggalah gadis itu ditemukan petang semalam oleh pihak polis.
“Malam tadi baru kecoh dalam aplikasi WhatsApp kampung mengenai penemuan mayat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Seorang lagi penduduk, Roslan Sidek, 37, berkata, ladang tersebut sering dikunjungi sebilangan pemancing bagi melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan parit.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan mereka tidak menemui sesuatu yang mencurigakan.
“Memang terkejut dan menggemparkan bagi kami penduduk di sini,” katanya.
Misteri kehilangan Nur Farah berasal dari Miri, Sarawak sejak 11 Julai lalu terbongkar apabila mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira pukul 6 petang semalam.
Gadis itu dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.
Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju korporat muslimah warna biru jeans, bertudung dan berseluar hitam.
Susulan itu, seorang penjawat awam yang juga kekasihnya berusia 26 tahun ditahan dan direman selama tujuh hari selepas perintah mengenai dikeluarkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza. – KOSMO! ONLINE