fbpx

Tambah baik SOP, elak kemalangan – KKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander ketika sesi Jawapan Menteri di Parlimen hari ini. FOTO JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti keperluan untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pembinaan lebuh raya di laluan awam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini atau merisikokan pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya akan sentiasa berusaha menyesuaikan SOP agar ia benar-benar memberi impak untuk menghindari kesan buruk melibatkan pelaksanaan mana-mana projek.

“SOP ini adalah satu garis panduan supaya kita menggunakan cara yang terbaik. Sebab itu, SOP ini dinamik dan bukan mati di situ sahaja.

“Kalau Yang Berhormat ada cadangan, kemukakan kepada kami dan mungkin kita boleh lihat kalau itu boleh diambil sebagai penambahbaikan proses SOP kita,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang bertanya adakah kerajaan bercadang untuk memperkemaskan SOP khususnya aspek keselamatan bagi projek pembinaan berhampiran dengan laluan awam.

Nanta berkata, kementeriannya bersedia untuk mendedahkan laporan kajian insiden jika ia melibatkan kemalangan berskala besar dan meragut nyawa.

“Itu tanggungjawab kita untuk mendedahkan kajian atau apa-apa dapatan daripada kajian ataupun siasatan kepada kes itu, dan ia adalah kewajipan moral untuk memaklumkan kepada awam. Namun jika insiden tersebut melibatkan kerosakan yang kecil, mungkin ia tidak perlu,” katanya.

Terdahulu, pada Mac 2021, tiga pekerja warga asing maut sementara seorang pemandu kenderaan cedera apabila satu daripada komponen kren gantri melibatkan pembinaan sebuah lebuh raya terjatuh serta menghempap sebuah kenderaan di kawasan pembinaan tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI