PUTRAJAYA – Empat individu termasuk pasangan suami isteri yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 11 Julai lalu dibebaskan hari ini.
Kesemua mereka termasuk pasangan pempengaruh itu dibebaskan selepas tempoh tahanan reman berakhir hari ini.
Menurut sumber, empat suspek itu diperintahkan untuk membayar wang jaminan RM100,000 setiap seorang yang mana RM20,000 perlu dibayar secara tunai manakala bakinya tanpa cagaran, masing-masing dengan seorang penjamin.
Sumber berkata, kesemua suspek juga perlu hadir ke pejabat SPRM sebulan sekali untuk melaporkan diri dan sekiranya diperlukan oleh SPRM sehingga siasatan selesai.
Sumber memberitahu, 10 Julai lalu, SPRM menahan empat suspek ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.
“Dianggarkan kutipan derma tersebut mencecah kira-kira RM3 juta. Pada masa sama dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terlibat kes sama,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE