KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mengumumkan inisiatif mengintegrasikan teknologi canggih dan infrastruktur yang kukuh untuk membentuk semula ekosistem sektor air di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Petra akan membangunkan pusat data dan maklumat air berpusat yang akan berfungsi sebagai sumber data yang boleh dipercayai.
“Dengan dorongan Malaysia ke arah IR 4.0, saya optimis tentang kemampuan negara kita untuk mengadopsi teknologi canggih dalam memperkukuh keupayaan pengurusan air kita.
“Asas kepada transformasi air ini adalah khazanah data yang dapat memberi kita maklumat lebih tepat dan boleh dipercayai melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Perkara ini juga dapat membuka potensi penuh pengurusan air yang lebih mampan,” katanya ketika berucap di Persidangan dan Pameran Khas Air Malaysia 2024 di Wyndham Grand, Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, usaha itu selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030 PBB) yang ingin dicapai menjelang 2030 terutamanya berkaitan pembasmian kemiskinan, pembangunan mampan dan ketahanan iklim.
Jelasnya, membuat keputusan berdasarkan data, penyelidikan dan pembangunan, serta kerjasama awam-swasta akan menjadi kunci dalam memacu pelan transformasi tersebut.
“Sejak reformasi perkhidmatan air yang bersejarah pada tahun 2006, pemegang kepentingan di semua subsektor air sedang menunggu dengan penuh harapan pelan transformasi komprehensif yang baharu untuk masa depan.
“Untuk itu, kerajaan menugaskan Akademi Sains Malaysia (ASM) pada tahun 2022 untuk mengkaji transformasi sektor air,” katanya.- KOSMO! ONLINE