fbpx

Perunding pelaburan didakwa terlibat pengubahan wang haram hampir RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUL NIZAM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM926,427.53 pada Julai tahun lalu.

TAIPING – Seorang perunding pelaburan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM926,427.53 pada Julai tahun lalu.

Tertuduh, Saiful Nizam Saharuddin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pemilik perniagaan PMBIS Growth Venture didakwa memindahkan wang berjumlah RM70,000, RM156,427.53, RM600,000 dan RM100,000 ke dalam empat akaun bank milik individu berbeza.

Pindahan wang hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank syarikat tertuduh itu dilakukannya di bank cawangan Plaza Centro Klang, Centro Mall, Jalan Batu Tiga Lama, Klang di Selangor pada 27 Julai 2023.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi tiga pertuduhan pertama dan RM60,000 untuk pertuduhan keempat.

Bagaimanapun peguam, Pang Tek Kit yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga selain telah memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 22 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI