fbpx

Perang di Ukraine antara punca Black Hawk UH-60A lambat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) menjelaskan, peperangan yang berlarutan di Ukraine merupakan salah satu punca menyebabkan gangguan rantaian bekalan ke atas pesawat Black Hawk UH-60A yang diingini Malaysia.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, peperangan tersebut juga menyebabkan proses kelulusan pihak pengawal selia Amerika Syarikat (AS) yang telah diperketatkan bagi pemodenan spesifikasi teknikal dan integrasi sistem avionik ke atas pesawat Black Hawk UH-60A.

“Garis masa (timeline) program kerja dan jangkaan penghantaran pesawat Black Hawk UH-60A ke Malaysia telah disemak semula dan diperbaharui oleh pihak Slovak Training Academy s.r.o.

“Semua yang terlibat berdasarkan kondisi rantaian bekalan terkini dan jangkaan masa kelulusan dari pihak pengawal selia Amerika Syarikat,” katanya ketika sesi Jawapan Menteri di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu apakah punca kegagalan Syarikat Aerotree Defence & Services gagal membekalkan pesawat helikopter jenis UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) mengikut waktu yang ditetapkan dan apakah tindakan susulan daripada pihak Mindef bagi memastikan kepentingan TDM terpelihara.

Tambah Adly, Kementerian Pertahanan amat memandang serius mengenai kelewatan ini di mana ia akan memberi impak negatif terhadap pengoperasian helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

“Sebagaimana yang digariskan dalam kontrak, sekiranya berlaku sebarang kelewatan dalam penghantaran helikopter tersebut, kerajaan boleh mengenakan Denda Lewat ke atas kelewatan yang disebabkan oleh syarikat.

“Namun demikian, sekiranya syarikat masih gagal membuat penghantaran mengikut tarikh yang ditetapkan, kementerian boleh membatalkan perolehan ini dan menender semula sebagaimana yang disyaratkan dalam kontrak,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI