fbpx

Penyokong Trump salahkan Biden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
. BIDEN berucap kepada penyokongnya semasa berkempen Detroit, Jumaat lalu. - AFP

WASHINGTON – Penyokong Parti Republikan di Kongres menyatakan bahawa mereka mengetahui dengan tepat siapa bertanggungjawab dalam insiden cubaan membunuh bekas Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Butler, negeri Pennsylvania pada Sabtu lalu.

Ramai penyokong Republikan menuding jari pada Presiden Joe Biden dan parti pimpinannya, Parti Demokrat sebagai bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Mereka membuat dakwaan itu beberapa jam selepas Trump cedera tetapi selamat dalam cubaan membunuh yang disyaki dilakukan oleh Thomas Matthew Crooks, 20.

Suspek ditembak mati di lokasi kejadian oleh ejen Perkhidmatan Rahsia (SS).

“Kempen Biden yang retorik (lantang mengecam Trump) mendorong kepada percubaan untuk membunuhnya,” kata Senator Parti Republikan, J.D. Vance.

Vance berada dalam senarai pendek Trump sebagai regu beliau untuk jawatan Naib Presiden dalam pilihan raya Presiden AS pada November ini.

Komen itu adalah sebahagian daripada dakwaan yang semakin panas dalam kalangan ahli dan pemimpin Republikan yang menyalahkan Demokrat sebagai punca kejadian tersebut berlaku.

Mereka ‘menuang minyak’ ke dalam api politik yang sudah lama tegang dan sangat berpolarisasi di AS.

“Retorik ‘panas’ datang daripada kedua-dua belah pihak sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata profesor sains politik di Universiti Georgetown, Michael Bailey kepada AFP.

Katanya, pemimpin Republikan lebih cenderung menggunakan retorik memecahbelahkan berkaitan isu senjata api.

Steve Scalise yang merupakan seorang anggota Parti Republikan cedera ditembak dalam serangan pada 2017 juga menyalahkan Parti Demokrat dalam percubaan membunuh Trump.

“Pemimpin-pemimpin demokrasi (Demokrat) mencetuskan ‘histeria’ apabila berkempen bahawa demokrasi di Amerika akan hancur sekiranya Trump dipilih semula,” katanya.

Penasihat kempen Trump, Chris LaCivita menulis di platform X bahawa Biden mengeluarkan kenyataan dan penerangan yang seolah-olah mewajarkan penggunaan kekerasan terhadap bekas presiden itu.

Anggota Dewan Perwakilan daripada Parti Republikan, Mike Collins melontarkan tuduhan lebih keras bahawa Biden mengeluarkan arahan dalam kejadian tersebut tanpa memberikan sebarang bukti kukuh.

Seorang lagi anggota Dewan Perwakilan Republikan, Marjorie Taylor Greene berkata: “Parti Demokrat jahat dan kelmarin (Sabtu lepas) mereka cuba membunuh Trump.”

Seorang penyokong Trump, Martin Kutzler yang berusia 60 tahun mengaku bahawa kedua-dua parti utama di AS itu dilanda perasaan cemas yang tinggi susulan insiden tersebut.

“Saya fikir kita perlu meredakan retorik sebegini,” katanya di pusat bandar Milwaukee.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, Michael Whately pula enggan membuat sebarang spekulasi mengenai cubaan membunuh Trump semasa bercakap kepada saluran berita Fox News.

“Semua orang di Amerika Syarikat perlu berhenti (membuat spekulasi). Mereka perlu berhenti seketika,” katanya.

Bagaimanapun, tuduhan terhadap Parti Demokrat sebagai bertanggungjawab dalam kejadian itu masih berlaku. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI