PETALING JAYA – Rakan-rakan Nur Farah Kartini Abdullah mendakwa suspek lelaki yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam pembunuhan mangsa bukanlah teman lelakinya seperti yang dilaporkan.
Tinjauan di media sosial mendapati, rakan-rakan mangsa mendakwa Nur Farah Kartini, 25, tidak mempunyai kekasih dan tiada sebarang hubungan antara dirinya dengan suspek berkenaan.
Selain itu, ada juga individu yang mendakwa suspek dan mangsa hanya kenalan sahaja dan tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa.
“Mamat tu nak try Fa, tapi Fa reject dia. Mamat tu dah ada anak bini dah pun dekat Melaka tu. Apa salah si Fa sampai kena bunuh?,” kata seorang pengguna aplikasi X.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek berusia 26 tahun itu adalah teman lelaki kepada Nur Farah Kartini.
Katanya, suspek ditahan susulan siasatan yang dilakukan berhubung kehilangan mangsa sejak Rabu lalu.
“Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam,” katanya.
Hussein bagaimanapun memaklumkan motif pembunuhan masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE