PETALING JAYA – Tidak mendedahkan wajah anak kepada umum, pasangan selebriti Neelofa dan Haris Ismail selesa dengan tindakan mereka itu.
Kata Haris atau nama lengkapnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 29, dia dan isteri tidak mempunyai perancangan untuk mempamerkan wajah anak mereka terutama dalam media sosial buat masa sekarang.
Bagaimanapun Haris tidak menafikan wajah anak-anaknya lama-kelamaan akan diketahui apabila dihantar ke sekolah.
“Macam mana pun, kita akan hantar dia ke sekolah dan ramai juga orang akan tengok. Cuma kami tidak tonjolkan wajah mereka di sosial media.
“Pada saya kami selesa dengan cara begini. Kalau ada mereka yang ingin lihat, pada mereka akan nampak juga,” katanya.
Sementara itu, Neelofa turut bersetuju dengan tindakan mengaburi wajah anaknya terutama ketika memuat naik gambar di gelanggang sosial media.
“Saya selesa begini. Bahkan saya juga gembira tidak mempamerkan wajah mereka.
“Biarpun ada orang yang sudah melihat wajah Bilal (anak pertama), tetapi saya tetap kaburkan gambar mereka, saya suka begitu,” jelasnya.
Pada Oktober 2022, Neelofa pernah berkongsikan wajah anak sulungnya dalam media sosial berikutan berang dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengubah muka anaknya sehingga mendapat komen negatif.
Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021 dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 3, dan Abdullah Abbas, 1. – KOSMO! ONLINE