SUNGAI BULOH – Gadis, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari sebelum mayatnya ditemukan dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di Hulu Selangor semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan keadaan mayat graduan Universiti Perdidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim yang sudah mereput.
“Ketika mayat mangsa ditemukan, keadaannya sudah hampir reput kerana telah meninggal dunia beberapa hari.
“Jadi, belum dapat dipastikan kecederaannya,” katanya ketika dihubungi.
Susulan itu, beliau berkata, masih terlalu awal untuk pihak polis mengenal pasti motif sebenar pelaku yang sanggup meragut nyawa wanita terbabit.
“Tiada sebarang penemuan senjata pembunuhan di lokasi kejadian buat masa ini dan proses bedah siasat masih berlangsung bagi mengenal pasti punca kematian,” jelasnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Hussein mengesahkan penjawat awam yang ditahan adalah anggota polis.
Suspek berusia 26 tahun yang dipercayai teman lelaki mangsa merupakan seorang anggota polis yang bertugas di Perak.
Tempat penemuan mayat mangsa merupakan lokasi kejadian utama dalam kes itu. – KOSMO! ONLINE.