fbpx

Mangsa dihempap kayu balak sedar selepas lima hari ditidurkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal ditunggang Siti Norelyana selepas dihempap kayu balak di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Gua Musang minggu lalu.

GUA MUSANG – Seorang gadis yang parah selepas dihempap kayu balak yang terjatuh daripada lori di lampu isyarat berdekatan Persimpangan Bendahara, di sini minggu lalu kembali sedar selepas lima hari ditidurkan.

Tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berkata, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, menunjukkan perkembangan baik berbanding keadaannya sebelum ini.

Katanya, selepas lima hari ditidurkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, tunangnya itu sudah mulai sedar semalam.

“Dia juga boleh bertutur dengan baik, tetapi masih memerlukan masa untuk menggerakkan anggota badannya.

“Pergerakan anggota badannya perlu dilakukan secara perlahan dan berhati-hati,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Tambah Nik Amnan Arif, setakat ini, dia masih belum mendapat sebarang makluman mengenai rawatan selanjutnya yang akan dijalani oleh tunangnya itu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita terselamat daripada ajal selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dari sebuah treler ketika melalui selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara.

Ekoran kejadian itu, Siti Norelyana mengalami kecederaan dalaman. Penyambung atau cakera putar lori yang patah dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh sebelum menghempap mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI