KAPTEN Kuala Lumpur City (KL City), Paulo Josue melaungkan ikrar setia untuk kekal bersama pasukan meskipun dilanda kemelut luar padang dengan isu pembayaran gaji tepat pada masanya.
Pada minggu lalu, Josue yang juga pemain naturalisasi kebangsaan telah mendedahkan bahawa dia tidak dibayar hampir tujuh bulan dengan kali terakhir dibayar pada Disember lepas.
Namun, Josue yang kini berusia 36 tahun mengakui tidak berminat untuk keluar daripada skuad Ibu Kota walaupun ada beberapa kelab menunjukkan minat mendapatkan khidmatnya Ketika ini.
“Saya sudah bercakap dengan Stanley Bernard (Ketua Pegawai Eksekutif KL City) beberapa kali bahawa saya tidak mahu meninggalkan Malaysia atau menyertai kelab lain.
“Secara jujur, saya percaya isu ini boleh selesai, tetapi hanya mahu melihat kelab untuk menunjukkan komitmen.
“Saya masih memiliki baki kontrak selama dua tahun dan saya memahami sekiranya kelab berdepan sedikit masalah.
“Sudah tentu saya mahu menerima gaji tepat pada masanya tetapi jika kelab ada beberapa kekangan, mereka boleh berbincang tau pecahkan bayaran kepada beberapa bahagian,” katanya Ketika ditemui.
Mengulas lanjut, Josue mengakui dirinya perlu bersuara bagi mewakili barisan pemain serta pegawai yang belum menerima tunggakan gaji sebelum ini.
“Saya cuma risaukan pemain lain dengan isu gaji ini kerana mereka boleh berpindah ke kelab lain dengan situasi semasa.
“Kami juga ada kakitangan seperti kitman dan juga fisioterapi yang tidak menerima gaji sekitar RM3,000 hingga RM4,000, tetapi sudah lama tidak menerima gaji,” katanya.