CYBERJAYA – Setiap unit atau jabatan sumber manusia (HR) dalam mana-mana syarikat atau organisasi di negara ini disaran memanfaatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data analisis dalam pengurusan masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia penting bagi memastikan aspek pengurusan HR diperingkatkan dari semasa ke semasa sekali gus memberi pengalaman terbaik kepada pekerja.
Beliau berkata, jika teknologi itu dapat diaplikasikan, profesional HR boleh menumpukan kepada usaha mengoptimumkan pembangunan bakat dalam kalangan pekerja.
“Masa depan HR yang berkesan di Malaysia pada masa akan datang mungkin akan dibentuk oleh beberapa trend utama yang diguna pakai di negara luar.
“Justeru, diharap ia akan membantu mewujudkan tempat kerja inklusif dan dinamik sekali gus membina daya tahan syarikat bagi tempoh jangka panjang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Pengurusan Strategik HR di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE