LONDON – Pengendali England, Gareth Southgate akhirnya mengotakan janji selepas sah letak jawatan selaku ketua jurulatih pasukan Three Lions berkuat kuasa hari ini.
Difahamkan, keputusan tersebut dibuat susulan kegagalan membantu England menjuarai Kejuaraan Euro 2024 selepas tewas 1-2 kepada Sepanyol pada aksi final awal pagi semalam.
Southgate dalam satu kenyataan berkata, sekarang adalah masa yang tepat untuk dirinya serta pasukan England membuka lembaran baharu.
“Sebagai anak jati England, sudah menjadi penghargaan buat saya menjadi pemain kebangsaan selain diberi peluang membimbing pasukan England.
“Saya sudah memberikan segalanya tetapi sekarang adalah masa untuk perubahan dan membuka lembaran baharu. Final Euro 2024 adalah aksi terakhir saya Bersama pasukan kebangsaan,” katanya.
Southgate telah membimbing England sejak 2016 dan berjaya membantu England mara ke final Euro edisi 2020 dan 2024.
Pengendali berusia 53 tahun itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan andai gagal membantu England menamatkan penantian trofi antarabangsa yang kali terakhir dimenangi pada Piala Dunia 1966. – AGENSI