BALIK PULAU – Seorang bekas pemandu van didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan berasingan termasuk pertuduhan menghalang tugas polis serta memandu van secara melulu dan berbahaya, 10 Julai lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Firdaus Farok, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan kedua dan ketiga dibacakan berasingan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Namun, Firdaus yang merupakan seorang duda anak dua mengaku bersalah atas pertuduhan pertama iaitu pertuduhan memberikan diri sendiri dadah jenis amphetamine, methamphetamine.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, pada 10 Julai lalu, kira-kira pukul 4 petang.
Mengikut pertuduhan kedua membabitkan kesalahan menghalang tugas penjawat awam, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang seorang anggota polis berpangkat Konstabel yang merupakan penjawat awam menjalankan tugas awamnya dengan tidak memberikan kerjasama semasa diperiksa dengan memecut laju kenderaan ke hadapan Golden Triangle Dua, Jalan Datuk Ismail Hashim.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 8.05 pagi, 10 Julai lalu di lampu isyarat, di Persiaran Relau, di sini.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga melibatkan kesalahan memandu van secara melulu, Firdaus didakwa sebagai pemandu motovan telah memandu kenderaan tersebut secara melulu, dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai apabila jalan yang digunakan itu tidak sesuai dan banyak lalu lintas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 Julai lalu, kira-kira pukul 7.45 pagi, di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, susur ke bulatan Jalan Baru, di sini.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM11,200 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE