FLORIDA – Pemain pertahanan Colombia, Davinson Sanchez menyuarakan rasa terkilan atas kegagalan mereka untuk merangkul gelaran pada saingan Copa America 2024 selepas tewas di perlawanan akhir.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hard Rock itu, Colombia terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Argentina, sekali gus menjadi gelaran ke-16 buat skuad La Albiceleste.
Bagaimanapun, berdasarkan statistik perlawanan, Colombia merupakan pasukan yang lebih baik apabila menguasai sebahagian besar permainan selain melakukan 16 percubaan berbanding 11 dilakukan Argentina.
Meskipun meletakkan Argentina berada dalam tekanan pada perlawanan tersebut, namun Colombia dihampakan dengan gol kemenangan yang dijaringkan Lautaro Martinez pada minit ke-112 masa tambahan.
“Kekalahan ini sangat menyakitkan, lebih-lebih lagi dengan apa yang sudah kami harungi sepanjang kejohanan. Saya percaya semua orang tahu kami sepatutnya mendapat keputusan lebih baik berbanding ini.
“Bagaimanapun, kami tidak mahu berikan sebarang alasan atas kekalahan yang dialami. Perlawanan tidak dimenangi berdasarkan kerja keras sahaja dan itulah menjadi faktor ia lebih memeritkan,” kata Sanchez.
Pada masa sama, pemain Galatasaray itu juga sedikit terkilan apabila kekalahan tersebut meleburkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Nestor Lorenzo itu dalam 28 perlawanan sebelum ini.
“Saya tahu seluruh negara meletakkan harapan tinggi kepada kami. Sudah tentu kami mahu hadiahkan kegembiraan buat mereka, namun tidak bernasib baik apabila terpaksa pulang dengan tangan kosong,” ujarnya. – AGENSI