MIR – “Bye Don, Nani dan Yuni, sayang korang.”
Demikian ucapan terakhir arwah Nur Farah Kartini Abdullah kepada tiga sahabat karibnya sebelum berangkat pulang ke Tanjung Malim, Perak selepas selesai bercuti pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
Berkongsi kenangan mengenai arwah, Donny Sidu, 25, berkata, dia berasa sangat bersedih apabila mengenangkan saat-saat indah bersama-samanya.
“Setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri, arwah akan sentiasa meluangkan masa berjumpa kami bertiga walaupun hanya sebentar.
“Sebagai sahabat, menjadi ‘kewajiban’ kami bertiga akan menghantar dan menemaninya ke Lapangan Terbang Miri untuk berangkat pulang ke Semenanjung.
“Namun siapa menyangka itu merupakan pertemuan terakhir kami kerana arwah sebelum ini bercadang untuk pulang ke Miri pada hujung bulan ini,” katanya yang dihubungi hari ini.
Donny turut menyifatkan Nur Farah Kartini sebagai seorang yang sangat periang, manja dan sering menghiburkan hati orang di sekelilingnya selain tidak pernah berkira dengan orang lain.
“Sejujurnya, arwah tidak pernah marah orang walaupun dia bukan seorang yang pendiam. Keceriaannya sentiasa membawa seri kepada kehidupan orang lain,” katanya.
Beliau menambah, Nur Farah Kartini juga aktif dalam misi kemanusiaan semasa menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan menyertai ResQ UPSI iaitu misi bantuan banjir.
“Arwah ini ada biasanya kalau naik kereta dan berjumpa kami, dia akan berteriak sebab teruja. Itulah sahabat saya, seorang yang agak kecoh, tetapi baik hati,” ujarnya.
Berkongsi lanjut mengenai Nur Farah Kartini, Donny berkata, sahabatnya itu merupakan anak perempuan tunggal daripada tujuh adik-beradik.
Sepanjang perkenalan dengan arwah sejak 2017 sewaktu berada di Tingkatan Enam Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, kehidupannya terisi dengan segala kenangan dan memori indah dan hampir semuanya adalah melucukan. – KOSMO! ONLINE