fbpx

Buli Esha: Wanita didenda RM100, lelaki mengaku salah keluar kata-kata lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shalini (kiri) dan Sathiskumar ketika dibawa ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh AHMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.

Majistret Arunjothy M. Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu dia boleh dihukum penjara tujuh hari. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Shalini didakwa dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat melalui akaun TikTok dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis, Lorong Kolan Air 8, Jalan Ipoh di sini pukul 4.10 pagi pada 1 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM100.

Mendiang Esha.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi, manakala Shalini tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan aktivis sosial menemui sakaun TikTok alphaquinnsha atas nama tertuduh yang memfitnah mangsa dan membuat beberapa ugutan untuk mencederakan wanita itu dengan nada paling ganas.

Tertuduh juga membuat siaran langsung di TikTok dan ugutan serta ancaman kepada individu yang menentangnya. Berikutan itu, Esha membuat laporan polis.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, seorang pemandu lori yang juga netizen dalam kes sama turut didakwa atas dua pertuduhan membuat komunikasi lucah dan aib di TikTok.

Tertuduh Sathiskumar Balakrishnan, 44, mengaku salah bagi pertuduhan pertama iaitu komunikasi lucah, namun tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu mendatangkan aib.

Sathiskumar didakwa melalui TikTok secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa mengikut seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM 50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Sathiskumar turut didakwa melalui aplikasi sama menggunakan perkataan dengan maksud hendak mengaibkan dan menganggu kesantunan ibu Esha, Puspa P.Rajagopal, 56, yang didakwa mengikut Seksyen 509 kanun keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu adalah penjara maksimum sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan 16 Ogos ini bagi sebutan semula kes berikutan tertuduh memaklumkan dia memerlukan peguam bagi prosiding seterusnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu. Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis menahan seorang wanita dan lelaki dipercayai terlibat dalam kes melakukan ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap Esha.

Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 39 tahun berhubung ugutan itu yang dibuat terhadap mangsa di TikTok.

Katanya, siasatan polis mendapati pengadu melihat dua hantaran berhubung fitnah dan ugutan terhadap Esha pada 30 Jun lalu.

Jelas beliau, semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada polis namun disyaki sudah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI