JOHOR BAHRU – Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas broker tanah kontrak yang membunuh anak tirinya berusia enam tahun, pada 2011.
Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah selepas menolak permohonan Azman Abd. Rahman, 50, untuk mengenepikan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.
Susulan itu, tertuduh akan kekal menjalani hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas gagal dalam semakan hukuman itu.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa membunuh Muhammad Firdaus Mohd. Dan di sebuah kebun kelapa sawit di Gadek, Alor Gajah, Melaka antara pukul 10.30 pagi hingga 2.15 petang, 10 Oktober 2011.
Mahkamah Tinggi Melaka menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas broker tanah kontrak dari Alor Gajah selepas didapati bersalah membunuh anak tirinya itu, pada 5 Jun 2015.
Pada 7 September 2016 dan 5 Oktober 2017, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman terhadap lelaki tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dasuki Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam S. Vijay Rathnam.
Semasa prosiding, pendakwaan mengekalkan hukuman mati terhadap Azman kerana perbuatan yang dilakukan kepada anak tirinya itu amat menyayat hati. – KOSMO! ONLINE