SUNGAI BULOH – Proses bedah siasat ke atas mangsa bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, selesai sepenuhnya petang ini.
Menurut sumber, proses itu mengambil masa selama empat jam bermula pada pukul 2 petang dan selesai pada pukul 6.10 petang.
Tinjauan Kosmo! mendapati ahli keluarga mangsa dilihat mula meninggalkan Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh di sini pukul 6.30 petang tadi.
Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari sebelum mayatnya ditemukan di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di Hulu Selangor petang semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia adalah berdasarkan keadaan mayat mangsa yang sudah mereput.
“Ketika mayat mangsa ditemukan, keadaannya sudah hampir reput kerana telah meninggal dunia sejak beberapa hari.
“Jadi, belum dapat dipastikan kecederaan yang ada,” katanya ketika dihubungi.
Susulan itu, beliau memberitahu, setakat ini masih terlalu awal untuk pihak polis mengenal pasti motif sebenar pembunuhan tersebut. – KOSMO! ONLINE.