IPOH – Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengambil alih tugas Ketua Polis Perak yang baharu menggantikan Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkuat kuasa hari ini.
Azizi, 60, menggantikan Mohd. Yusri, 54, yang memulakan tugas baharu sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Azizi mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1987 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada 2019 sebelum menjadi Timbalan Ketua Polis Perak pada 2021.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pagi ini disaksikan oleh Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim.
Pada majlis sama, berlangsung upacara serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak antara Azizi dengan penyandang baharu, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat. – KOSMO! ONLINE