LONDON – Bintang muda Sepanyol, Carlos Alcaraz mencipta sejarah apabila menewaskan juara tujuh kali Wimbledon, Novak Djokovic dengan keputusan 6-2, 6-2, 7-6 dalam perlawanan akhir kelmarin sekali gus meraih gelaran Grand Slam keempatnya pada usia 21 tahun.
Alcaraz yang telah memenangi tiga daripada lima kejohanan utama sebelum ini menyatakan keinginannya untuk menikmati perjalanan kariernya yang menakjubkan berbanding memikirkan terlalu jauh mengenai masa depannya.
“Saya mahu terus melangkah, terus meningkat dan berkembang, cuba untuk terus menang. Itu semua perkara penting buat saya pada masa ini. Saya tidak tahu sampai mana had kemampuan saya. Saya tidak mahu memikirkan mengenainya. Saya mahu terus menikmati saat ini dan terus bermimpi.
“Jadi, kita lihat nanti di akhir karier saya sama ada 25, 30, 15 atau empat gelaran Grand Slam. Saya tidak tahu. Saya mahu katakan saya mahu menikmati perjalanan ini dan melihat apa yang berlaku pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Djokovic yang berusia 37 tahun gagal meraih gelaran Wimbledon kelapan serta gelaran utama ke-25 secara keseluruhan.
“Set pertama sangat luar biasa, ia menjadi perlawanan set pertama paling panjang yang saya pernah beraksi. Alcaraz sentiasa bersedia memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan yang dihadapinya,” kata Djokovic
Dengan kemenangan menundukkan juara bertahan di pentas terbesar dunia, Alcaraz telah memperkukuh statusnya sebagai salah satu bintang muda yang paling menyerlah dalam dunia tenis dan membuktikan dia mempunyai kekuatan tersendiri. – AGENSI