PETALING JAYA – Perkongsian beberapa wanita di kumpulan Facebook, Luahan Hati Seorang Isteri mengakui mereka tertekan dengan perkahwinan yang dibina apabila rumah tangga tersebut diganggu oleh bekas isteri suami.
Menurut pengguna Facebook dikenali sebagai Lya, dia berkata hampir setiap hari bekas isteri suaminya memuat naik status berkongsi gambar mesra mereka sewaktu masih bergelar pasangan bahagia.
“Saya tak pasti sama ada wanita itu tak yang tak boleh ‘move on’ lepas dia dan suami saya bercerai dua tahun lalu. Atau mereka berdua ada hubungan dalam diam di belakang saya.
“Saya tak rasa saya seorang perampas. Saya dan suami kahwin setahun selepas suami beecerai dengan jandanya. Tapi kenapa sampai sekarang wanita itu sengaja menguji keharmonian rumah tangga kami. Dah hampir empat bulan perkara ini berlanjutan.
“Dari kami kahwin bulan Februari lalu sehingga sekarang. Saya sedih, jadi tertekan. Bila mengadu pada suami, dia kata jangan dilayan. Tapi saya sebagai isteri sakit hati bila wanita lain kongsi gambar mesra dengan suami saya,” luahnya.
Sementara itu, seorang wanita yang enggan dikenali berkongsi mengenai ujian rumah tangganya apabila diganggu dengan kata-kata jelik oleh bekas isteri suaminya.
“Saya kahwin dengan duda sudah setahun lebih, sekarang ini bekas isteri dia kata dan perli saya di WhatsApp kata saya ini mandul la, apa yang nak dengki.
“Lagi satu mak mentua tunjuk bekas isteri suami suka muat naik tentang saya di Facebook untuk dimalukan. Terus saya sounds (marah) bekas isteri itu bangga ke canang kisah saya dan suami.
“Saya sampai rasa tiada perasaan nak bersama dalam rumah tangga ini lagi, apa perlu saya buat? Tengah buntu,” katanya.
Perkongsian wanita itu ternyata mendapat perhatian pengguna Facebook, Aien, yang mendedahkan dia juga pernah alami nasib sama sehingga perkahwinan selama tiga tahun bersama suami berakhir dengan penceraian.
“Bukan mudah nak kahwin dengan duda. Sebab tak semua bekas isteri mereka rela lihat bekas suaminya kahwin dengan orang lain. Bukan sebab sayang, tetapi lebih kepada dengki.
“Saya pernah lalui, diganggu, dimaki, dilontarkan fitnah sampai hubungan kami porak peranda akhirnya bercerai. Nasihat saya, kalau ada yang lalui pengalaman sama, bincang dan cari solusi untuk tidak terpengaruh dengan ganggu orang luar,” katanya di ruangan komen. – KOSMO! ONLINE