KUALA LUMPUR – Pasukan Selangor Red Giants (SRG) melakar sejarah baharu dalam arena e-Sukan negara selepas muncul juara pada kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 sebentar tadi.
Pada aksi final yang berlangsung di Amazon Arena Riyadh, Arab Saudi, SRG mencatat kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport, sekali gus memahat nama sebagai juara baharu.
Lebih manis, pemain jungler SRG, Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul yang lebih dikenali sebagai Sekyss turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada kejohanan tersebut.
Kemenangan bersejarah itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyampaikan ucapan tahniah kepada SRG.
Selaku juara, SRG mendapat durian runtuh apabila membawa pulang trofi kejuaraan serta hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.6 juta). – KOSMO! ONLINE