fbpx

Senator wanita popular dituduh beli PhD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keskamol baru dilantik sebagai senator di Thailand. – Thai Post

BANGKOK –  Seorang senator wanita di Thailand menerima kecaman orang ramai kerana didakwa menggunakan  ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti California yang dibeli pada harga 8,600 baht (RM1,109), lapor laman berita Thaiger hari ini.

Profesor Madya Dr. Keskamol Pleansamai  menerima undian tertinggi bagi pemilihan senator.

Personalitinya yang menarik antara faktor Keskamol popular dalam kalangan rakyat, namun latar belakang pendidikannya menimbulkan isu baru-baru ini.

Keskamol mempunyai latar belakang pendidikan kukuh termasuk PhD dalam Pembangunan Sumber dan Pengurusan dari Universiti Maejo, Ijazah Sarjana Pengurusan Organisasi dari Universiti Krirk dan Program Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Rangsit.

Namun, apa yang membuatkan orang ramai berasa curiga adalah PhD beliau sebagai Profesor Madya dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti California.

Ramai menyatakan bahawa Universiti California tidak memberikan arahan atau mengeluarkan ijazah, sebaliknya menilai kelayakan pendidikan mereka yang lulus dari luar negara dan mengeluarkan sijil setara.

Seorang pengguna platform X dengan akaun @iwhale berkata, ijazah PhD dari universiti tersebut boleh diperoleh dengan memasukkan maklumat di laman web rasminya, membayar yuran perkhidmatan dan yuran penghantaran untuk sijil yang akan diposkan  ke Thailand.

Menurutnya, keseluruhan proses itu menelan kos hanya 8,600 baht.

Sementara itu, Keskamol dan peguamnya, Deachai Kittiwittayanan menggesa mana-mana pihak yang curiga supaya menyemak kertas penyelidikan beliau yang diterbitkan bagi memastikan  bahawa PhD itu adalah sah dan sahih.

Perkara itu bagaimanapun turut diperdebatkan apabila projek tesis Keskamol dikatakan hanya mengambil masa 10 hari untuk disiapkan, jauh berbeza daripada amalan kebiasaan iaitu tiga bulan hingga lebih setahun.

Sementara itu, Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam semalam mengeluarkan komen menyatakan bahawa pihaknya tidak mengiktiraf ijazah Universiti California.

Sehingga kini, tidak jelas sama ada Keskamol layak meneruskan tugasnya sebagai senator. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI