KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah membentangkan dua rang undang-undang (RUU) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Ia membabitkan RUU Perubatan (Pindaan) 2024 dan RUU bagi meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang telah dibentangkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzukefly Ahmad.
Menurut naskah biru di laman web Parlimen, pindaan rang undang-undang yang mengandungi 13 Fasal itu antara lain bertujuan memberi kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk mengiktiraf kelayakan dan latihan kepakaran bagi pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.
Ia memberikan kuasa kepada majlis melantik mana-mana pengamal perubatan berdaftar untuk mewakili majlis dalam apa-apa jawatankuasa, panel atau institusi.
Rang undang-undang terbabit juga bertujuan mengadakan syarat bagi pengamal perubatan untuk berdaftar sebagai pakar, selain memperuntukkan latihan kepakaran sebagai suatu kehendak untuk berhak didaftarkan sebagai pakar.
Menurut Dzulkefly, Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 turut dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Dzulfefly berkata, bacaan kali kedua dan ketiga untuk RUU itu akan dibuat pada sesi persidangan kali ini.
Selain Fasal 4, RUU Perubatan (Pindaan) 2004 turut membabitkan Fasal 5 yang bertujuan meminda perenggan 14(2a)(a) yang memperuntukkan mana-mana orang boleh berdaftar penuh di bawah Seksyen 14 berkaitan orang yang berhak didaftarkan penuh.
Ia sekiranya individu tersebut berhasrat untuk mengajar, melakukan penyelidikan atau mengikuti kursus lepasan ijazah dalam bidang kepakaran di bawah apa-apa program latihan di mana-mana institusi seperti ditentukan majlis.
Fasal 6 pula bertujuan menggantikan Seksyen 14b bagi mengadakan syarat untuk pengamal perubatan berdaftar sebagai pakar, selain memperuntukkan latihan kepakaran sebagai suatu kehendak untuk berhak didaftarkan sebagai pakar.
Fasal 10 bertujuan memasukkan Jadual baharu Keempat dan Kelima dalam Akta 50 yang menyenaraikan kelulusan kepakaran yang boleh didaftarkan dan untuk mengadakan senarai subkepakaran.
Isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau parallel pathway mencuri tumpuan apabila timbul kemelut itu mengenai pengiktirafan latihan kepakaran yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ia juga berkaitan isu pendaftaran pegawai perubatan yang menamatkan latihan kepakaran dalam Daftar Pakar (NSR) di bawah MMC, yang mana kedua-dua isu ini telah dibawa dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada April lalu bagi mencari penyelesaian.
Dzulkefly turut mengumumkan bahawa Akta Perubatan 1971 akan dipinda bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan termasuklah mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran parallel pathway. – KOSMO! ONLINE