fbpx

RUU 355: Kajian perlu teliti, tidak tergesa-gesa – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya di sini, hari ini.-Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Kajian mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal Undang-Undang Islam dijalankan dengan teliti dan tidak tergesa-gesa sebelum mengeluarkan sebarang pandangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bagi meningkatkan kedudukan dan martabat mahkamah syariah melibatkan pindaan kepada Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) kelak tidak dilihat ada kelemahan ketara.

Jelasnya, ketika ini, kajian yang dimulakan pada akhir tahun lalu juga tidak mendapat sebarang bantahan daripada Ketua Hakim Negara dan Majlis Raja-Raja turut memberikan perkenan selepas diberi taklimat awal berhubung perkara berkenaan.

“Alang-alang kalau nak buat pindaan, buat pindaan yang betul-betul dan menyeluruh supaya kesungguhan kita dalam melaksanakan itu tidak dipertikai dan sekurang-kurangnya jelas dengan hujah kita mencakupi semua bidang.

“Pada Ogos ini Insya-Allah kita bentangkan (hasil kajian awal kepada Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal Agama Islam (MKI), tetapi tentu tidak dapat dimuktamadkan kerana perbincangan saya dengan Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) sebaik-baiknya diangkat ke peringkat antarabangsa.

“Kita rujuk semula sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu kerana soal Islam, adat dan kewarganegaraan, hal-hal tertentu mesti mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Di Malaysia di sini hari ini.

Anwar berkata, kajian berkenaan itu juga akan menjadi satu dokumen kukuh yang boleh ditelaah di peringkat antarabangsa.

“Usaha untuk menyelaras pandangan daripada semua pihak perlu dilakukan termasuk dalam kalangan pakar perundangan Islam antarbangsa,” katanya.

Anwar berkata, usaha penelitian ini bukan merupakan dalih bagi melengahkan atau meremehkan usaha yang lalu termasuk Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355), namun, ia akan ditambah baik berikutan terdapat kelemahan pada peruntukan berkenaan.

Katanya, ia bukan sahaha perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, tetapi ia akan dibawa kepada pakar antarbangsa supaya ia menjadi contoh terbaik pelaksanaan satu dokumen usaha memartabatkan perundangan Islam.

“Ia kemudian boleh dijadikan panduan, diserasikan di antara kedudukan dan kekuatan mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

“Di samping itu juga melihat beberapa ciri atau peruntukan mahkamah sivil yang ternyata melanggar secara terang konsep perundangan Islam, barulah kita kata konsep pengislaman sebenarnya. Ia tidak boleh hanya dilihat dari sudut perundangan Islam atau mahkamah syariah dengan mengenepikan yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI