BALING – Seorang ibu merayu anak lelakinya pulang ke pangkuannya setelah 24 tahun menghilangkan diri.
Eshah Awang, 69, berkata, Saifor Armi Ishak, 50, yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik menghilangkan diri sejak usianya 26 tahun hingga sekarang tiada khabar berita.
“Ketika hendak keluar rumah Saifor beritahu mahu mencari kerja di Kuala Lumpur. Sebelum itu juga dia ada beritahu ibu kawannya kononnya saya telah menghalaunya, sebenarnya tidak, bukan menghalau cuma berleter kerana dia masih tidak bekerja.
“Setelah seminggu di Kuala Lumpur, Saifor menghubungi mak cik meminta duit belanja sebanyak RM70 sementara dia mendapat gaji, selepas itu dia terus senyap tanpa khabar berita sehingga sekarang,” katanya di sini semalam.
Eshah mengharapkan anaknya itu segera kembali ke pangkuan keluarga kerana mereka sekeluarga amat merinduinya.
Sementara itu, anak kedua Eshah, Aswalni, 46, berkata, ketika bekerja di Kuala Lumpur, dia ada mencari abangnya termasuk melihat sekiranya terdapat rekod di balai polis dan Jabatan Pendaftaran Negara, namun tidak berhasil.
“Jika abang masih hidup, pulanglah segera, kami menerima abang seadanya dan reda dengan apa yang berlaku. Ibu dan ayah, Ishak Md Isa, 73, semakin uzur dan sering sakit, mereka ingin melihat abang walaupun sekejap sebelum menutup mata.
“Sekiranya berlaku sebaliknya, kami semua reda dengan ketentuan Ilahi, jika boleh kami ingin tahu di mana kuburnya, jika tiada juga, hanya doa yang mampu kami kirimkan,” katanya.