fbpx

PPHM anjur Konvensyen Fujian Sedunia Ke-11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hock San (tengah) semasa sesi temu bual di sidang media Konvensyen Dunia Fujian ke-11, KL di Ibu Pejabat LBS, Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA – Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia (PPHM) mengumumkan ia akan menganjurkan serta menjadi tuan rumah kepada Konvensyen Dunia Fujian Ke-11 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 9 November 2024.

Acara berkenaan bertujuan memperkukuhkan ikatan kekeluargaan, mempromosikan pembangunan bersama, membina hubungan kerjasama erat serta mencambah pertukaran idea dan buah fikiran dalam kalangan komuniti Fujian dari luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis perasmian pada 9 November.

Ini selari dengan inisiatif konsep Malaysia Madani, sekaligus menekankan komitmen PPHM untuk memahami dan menerima kepelbagaian agama, budaya dan adat resam, sambil memupuk perpaduan serta mempromosikan hubungan harmoni.

Tema konvensyen tahun ini, iaitu ‘Belayar di Laluan Sutera Maritim, Mengumpulkan Sentimen Fujian’ menggambarkan semangat penerokaan global, perdagangan, dan pertukaran budaya yang telah lama menjadi ciri warisan Fujian.

Lebih Istimewa, penganjuran tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 konvensyen dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, yang terjalin sejak 31 Mei 1974.

Ahli majlis tertinggi PPHM semasa sidang media Konvensyen Dunia Fujian ke-11, Kuala Lumpur.

Presiden PPHM, Tan Sri Lim Hock San berkata, dengan penyertaan peserta-peserta antarabangsa ke Malaysia, konvensyen berkenaan dijangka memberi sumbangan dan manfaat ekonomi yang besar, merentasi pelbagai sektor.

Jelasnya, ia termasuk sektor pelancongan dan hospitaliti, ekonomi MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran), pengangkutan, makanan dan membeli-belah, selain menggalakkan kerjasama dan pelaburan perniagaan, pertukaran budaya dan memperkukuhkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kami mengalu-alukan kedatangan semua masyarakat Fujian di seluruh dunia untuk menyertai kami di konvensyen ini.

“Bersama-sama, kita akan bersatu untuk berkongsi sentimen kampung halaman, merancang untuk pembangunan masa depan, di samping menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PPHM menjangkakan penyertaan kira-kira 3,500 delegasi, termasuk peserta tempatan dan antarabangsa dari lebih 20 buah negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, pelbagai negara Eropah, Australia, New Zealand, China, China-Hong Kong, China-Macau, China-Taiwan, Jepun, dan negara-negara ASEAN termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Laos, Myanmar serta Kemboja.

Selain itu, konvensyen ini dijangka menarik kira-kira 2,000 penyertaan dari organisasi dan wakil tempatan Fujian. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI