fbpx

Pindaan Akta Perubatan jamin kualiti, kuantiti pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Dzulkefly.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan memaklumkan Pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 (Akta 50) akan memberi penambahbaikan pada kualiti dan kuantiti pakar perubatan pada masa hadapan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penambahbaikan itu melibatkan program sarjana dan ‘parallel pathway’.

Beliau berkata, di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024, latihan kepakaran baharu tempatan bagi kedua-dua program berkenaan perlu dinilai dan mendapat kelulusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sebelum diiktiraf.

Malah katanya, penilaian dijalankan berdasarkan standard yang diluluskan MMC bagi memastikan kualiti latihan kepakaran dapat dipelihara.

“Tujuan utama pindaan diharmonikan dan diatur ialah memastikan kuantiti pakar yang bakal dijana, bukan saja bagi sarjana perubatan tetapi juga laluan ‘parallel’.

“(Tujuan) kedua ialah kualiti. Ada dua jalur kepakaran, dan isu selalu ditanya ialah kualiti serta bagaimana bertemu dengan kuantiti yang mahu dijamin dengan pindaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai RUU Perubatan (Pindaan) 2024 serta RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Dr Dzulkefly membentangkan RUU Perubatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, bertujuan memberi kuasa kepada MMC untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.

Pindaan ke atas perenggan 4a(2)(h) itu adalah sebahagian daripada Fasal 4 RUU berkenaan yang secara umum bertujuan meminda Akta Perubatan 1971 bagi menambah baik peruntukan mengenai pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar serta bagi melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran.

Dalam masa yang sama, Dzulkefly turut menafikan dakwaan yang KKM bersikap berat sebelah dengan tidak memberi penekanan kepada program sarjana perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berbanding ‘parallel pathway’.

Dalam tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023, sebanyak RM365.4 juta (96 peratus) dibelanjakan untuk pegawai perubatan KKM mengikuti latihan kepakaran peringkat sarjana di universiti awam, berbanding RM13 juta (empat peratus) untuk ‘parallel pathway’.

“Apapun persepsi (mendakwa) kita memberi kepentingan kepada program antarabangsa, ‘parallel pathway’, dari sudut kewangan pun jelas, ia jelas tidak begitu,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI