JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Batanghari, wilayah Jambi resah apabila mendengar suara orang menyanyi dari pejabat ketua kampung setiap kali malam Jumaat, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Menurut penduduk, bunyi orang menyanyi itu datang daripada pembesar suara yang berada di dalam pejabat yang kosong.
Ketua Kampung Pasar Tembesi, Zainal Kabri berkata, kejadian itu sudah berlaku beberapa kali, di mana penduduk mendengar bunyi suara lelaki dan wanita menyanyi.
“Misteri karaoke malam Jumaat kliwon di pejabat ketua kampung masih belum terungkai sehingga kini.
“Memang kita sering dengar bunyi karaoke (menyanyi) apabila pejabat berkunci, namun tiada sesiapa di situ. Sebelum ini, ada penduduk pernah mendengar suara perempuan menyanyi lagu Jawa,” demikian menurut kenyataan pada akaun TikTok @adminpolsekmatembesi.
Sementara itu, bagi menyiasat perkara tersebut, anggota Polis Muara Tembesi turut menyertai beberapa penduduk pergi memeriksa keadaan pejabat itu.
Berdasarkan video yang dikongsikan di TikTok, terdengar suara lelaki sedang menyanyi tanpa iringan muzik.
Suara itu kemudian didapati berasal daripada pembesar suara yang ada di dalam pejabat ketua kampung.
Namun, mereka mendapati bahawa tingkap dan pintu pejabat itu berada dalam keadaan berkunci.
“Kejadian seperti ini sering berlaku dan kami masih belum menemui siapa penyanyinya. Mungkin ada kesilapan teknikal atau memang berpunca daripada makhluk halus,” kata keterangan video itu.
Dalam pada itu, polis tidak menolak kemungkinan bahawa pembesar suara itu bersambung dengan aplikasi Bluetooth daripada telefon bimbit seseorang. – AGENSI