SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri memerlukan RM100,000 bagi membolehkan anak perempuan mereka yang baharu berusia 29 hari menjalani pembedahan segera kerana mengalami kecacatan jantung.
Nur Azkayra Yasmeen Muhamad Yusof yang dilahirkan 16 Jun lalu kini terpaksa bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan.
Bapanya, Muhamad Yusof Bokhri, 30, berkata, anaknya keduanya itu sepatutnya dibenarkan keluar hospital sehari selepas dilahirkan bulan lalu, namun pemeriksaan lanjut doktor mendapati kadar oksigen dalam darahnya menurun sehingga 85 peratus.
“Anak saya kemudiannya dikejarkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) sebelum disahkan mengalami kecacatan jantung dan terpaksa bergantung kepada oksigen ketika ini.
“Nur Azkayra telah menjalani pembedahan kecemasan untuk membesarkan saluran darah pada jantung, pada hari kedua dilahirkan untuk langkah sementara.
“Oleh kerana keadaan semakin kritikal dan penurunan kadar oksigen, doktor memberitahu pembedahan harus dibuat segera dalam tempoh sebulan bagi menyelamatkan nyawanya,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity Datuk Chua Sui Hau berkata, ibu bapa Nur Azkayra Yasmeen kini buntu kerana tidak mampu menampung kos pembedahan tersebut memandangkan ia perlu dilakukan dalam tempoh singkat.
Menurutnya, bapa bayi itu bertugas sebagai anggota tentera di Langkawi, Kedah, manakala ibu kanak-kanak berkenaan, Nur Atiqah Abdul Rahim, 32, bekerja sebagai kerani.
“Selain Nur Azkayra Yasmeen, pasangan ini turut memiliki seorang anak lelaki berusia 10 tahun,” ujarnya.
Sehubungan itu, bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad, 3201428817 atas nama One Hope Charity & Welfare atau layari laman web onehopecharity.org.