fbpx

NAHRIM buat penyelidikan pencemaran mikroplastik di 4 lembangan sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah ditemui pemberita selepas Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama 2024 Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.- Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang giat menjalankan penyelidikan berkaitan impak kehadiran bahan cemar baharu melibatkan bahan pengganggu endokrin (EDCs), kerintangan antimikrob (AMR) serta mikroplastik terhadap kualiti air.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penyelidikan tersebut dijalankan di empat lembangan sungai di negara ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Seminar yang diadakan oleh NAHRIM ini membabitkan penglibatan pemain industri, kementerian dan agensi untuk kita melihat dan berkongsi pengalaman daripada pakar-pakar, dan diharap dengan adanya program ini kita dapat mengetahui kedudukan Malaysia dengan penyelidikan yang sedang dibuat di empat lembangan sungai.

“Ia untuk kita lihat apakah dasar pada masa depan yang boleh dikemukakan untuk menangani cabaran-cabaran baharu dalam konteks (pencemaran) mikroplastik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama di sini hari ini.

Seramai 120 peserta dari pelbagai kementerian, jabatan persekutuan dan negeri, institusi pengajian tinggi serta industri tempatan dan antarabangsa dari Korea, Jepun, India dan Singapura menyertai seminar anjuran NAHRIM dengan kerjasama Frontier Laboratory Ltd., Japan dan Persatuan Penyelidikan Air Malaysia.

Menurut Fadillah, penglibatan pelbagai sektor di dalam seminar itu merupakan kunci dalam menangani isu pencemaran air secara holistik dan berkesan, memastikan perlindungan sumber daya air yang penting untuk kehidupan manusia dan alam sekitar secara keseluruhan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, pengumpulan data-data asas adalah amat penting bagi membolehkan kerajaan menetapkan dasar dan polisi baharu dengan lebih berkesan dan bersifat pencegahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI